.:: FoLLOwEr'S aQ ::.

Monday, March 14, 2011

Etika Bedah Siasat Mayat Menurut Islam



Etika bermaksud ilmu berkenaan prinsip-prinsip akhlak atau moral yang menjadi pegangan seorang individu atau kumpulam. Etika melakukan bedah siasat mayat bukanlah sesuatu yang mutlak. Individu atau kumpulan yang terlibat dalam urusan bedah siasat mayat perlu memenuhi beberapa etika yang digariskan oleh syarak antaranya ialah menghormati, menjaga hak dan kemuliaan mayat sebagai manusia.
Semua Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang terlibat dalam proses bedah siasat hendaklah menghormati mayat seperti manusia yang masih hidup. Islam menggalakkan orang yang masih hidup supaya menjaga kemuliaan, hak-hak dan kehormatan orang yang telah mati sepertimana orang yang hidup tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Islam melarang seseorang menganiaya dan tidak menghormati seseorang yang lain sama ada pada diri, maruah dan harta mereka.
Firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Israa‘ ayat 70 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”
Urusan bedah siasat mayat hendaklah dijalankan dengan segera dan tidak dilengah-lengahkan supaya selaras mengikut kehendak syarak yang mewajibkan mayat diuruskan dengan segera, sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:“Segeralah penyelesaian pengurusan jenazah kerana kalau ia jenazah orang soleh maka bererti kamu menyegerakan kepada kebaikan dan apabila sebaliknya (mayat yang tidak soleh) maka bererti kamu telah melepaskan kejahatan dari bahumu” (Riwayat Muslim).

Pembedahan hendaklah dilakukan dengan cermat supaya tidak menjejaskan kehormatan dan kemuliaan mayat. Hadis Rasulullah s.a.w ; Dari Aisyah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda; “Memecahkan atau mematahkan tulang mayat sama seperti memecahkannya atau mematahkannya sewaktu hidupnya”. (Riwayat Abu Daud)
Oleh yang demikian, bedah siasat mayat yang dilakukan tidak boleh melampaui batas atau had rukhsah yang dibenarkan oleh syarak. Selain itu, urusan bedah siasat mayat klinikal memerlukan kebenaran waris bagi melakukan pembedahan ke atas mayat berbanding dengan bedah siasat mayat medicolegal yang tidak memerlukan kebenaran waris. Hal ini kerana, mengambil kira hukum asal menyakiti mayat adalah haram. Oleh itu, bedah siasat mayat boleh dilakukan ke atas mana-mana anggota mayat yang diyakini boleh membantu mencapai matlamat pembedahan dan mengenalpasti sebab-sebab kematian.Ini bersesuaian dengan kaedah fiqhiyyah iaitu ‘perkara dharurat adalah dikira mengikut kadarnya’.
Orang yang melakukan bedah siasat mayat tidak boleh dengan sengaja melihat aurat mayat kecuali pada kadar yang diperlukan sahaja. Diriwayatkan dari Saidina Ali k.m.j, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu nyatakan(perlihatkan) pahamu, dan janganlah kamu memandang kepada paha orang hidup dan orang mati”. Seelok-eloknya, orang yang melakukan bedah siasat mayat perlulah menahan pandangan mata, menyentuh di tempat yang berkaitan dan menyediakan doktor pakar mengikut jantina manusia.  
Sepertimana Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah, mayat seboleh-bolehnya diuruskan oleh petugas dari jantina yang sama. Kaedah ini merujuk kepada keputusan Persidangan Majma‘ al-Fiqh al-Islami (IslamicFiqh Academic) di Brunei Darussalam pada 21-27 Jun 1993 mengenai wanita yang ingin mendapatkan rawatan.  
Pegawai dan Petugas Perubatan kerajaan yang terlibat dalam pengendalian mayat tidak boleh menghina, mencemuh atau memaki mayat. Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Dari Ibnu Umar telah berkata: Sabda Rasululllah s.a.w.: Sebutlah kebaikan orang yang telah mati dan berhentilah dari menyebut keburukan mereka”. (Riwayat at-Tirmizi)
Anggota mayat yang dibedah hendaklah dijahit semula dengan kemas. Semua organ atau tisu yang diambil untuk kajian hendaklah dikembalikan kepada mayat sebelum mayat disempurna dan dikebumikan. Bagi kes yang memerlukan kajian dan penyelidikan ke atas sampel dari mana-mana anggota mayat yang memakan masa lama (disimpan bertahun-tahun dalam makmal) kerana kekurangan pakar, penyakit masih tidak dapat dikenalpasti, kekurangan alat dan sebagainya, maka jenazah hendaklah disempurna dan dikebumikan dahulu. Manakala organ atau tisu yang diambil untuk kajian hendaklah ditanam atau diserah kepada waris atau pihak bertanggungjawab. Kajian dan siasatan ke atas sampel yang diambil hendaklah dijalankan dengan segera.
Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan tidak dibenarkan mengambil mana-mana tisu atau organ daripada mayat yang dibedah siasat melainkan dengan kebenaran undang-undang. (Akta Tisu Manusia 174 - Akta 130). Orang yang dibenarkan hadir semasa bedah siasat mayat hanya petugas bedah siasat mayat dan pihak berkuasa yang berkaitan sahaja dibenarkan berada di dalam bilik bedah siasat semasa bedah siasat dijalankan.
Oleh yang demikian, setiap bedah siasat mayat yang dilakukan perlu megikut etika-etika pembedahan yang telah ditetapkan oleh syarak bagi menjaga dan memelihara kehormatan, kemuliaan dan hak-hak individu dan masyarakat.


No comments:

Post a Comment