.:: FoLLOwEr'S aQ ::.

Monday, March 14, 2011

PERKEMBANGAN PENGLIBATAN PEKERJA WANITA DALAM SEKTOR INDUSTRI.


Dewasa ini penglibatan pekerja wanita dalam aktiviti ekonomi semakin membanggakan, terutama sekali dalam sektor industri. Wanita mula melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi bermula di sektor pertanian diikuti dengan sektor perindustrian dan perkhidmatan. Penglibatan wanita dalam sektor industri bukanlah satu fenomena baru. Ini merupakan satu perkembangan yang sangat penting dalam sejarah sosial di Malaysia. Dengan meningkatkan jumlah penyertaan wanita dalam sektor industri boleh dianggap sebagai perkembangan yang menggalakkan. Sebelum sampai pada tahap yang ada pada hari ini, penglibatan wanita dalam aktiviti ekonomi sangat terhad.
Perubahan kuasa dan pentadbiran tidak pernah mengubah kedudukan wanita sebagai pencari rezeki. Wanita tidak mengasingkan diri daripada aktiviti ekonomi, malah sebaliknya anjal berubah mengikut suasana sekeliling. Di Britain, sejak zaman industri lagi wanita telah melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyelamatkan keluarga daripada kelaparan. Mereka berjaja di pasar hingga menjadi pekerja asing dengan mencari kerja di tempat lain bagi tempoh yang lama. Di Amerika Syarikat pula, pendedahan tentang “ setiap lelaki mempunyai pekerjaan sebaliknya perempuan tidak” telah berlaku. Ini juga kelihatan sama di Malaysia, kerana sumbangan wanita tidak diambil kira dalam penggubalan dasar.
Sikap ambil mudah dan tidak peka terhadap usaha dan titik peluh wanita begitu terserlah apabila wanita yang melakukan kerja tidak dibayar upah dan konsep “kerja rumah” digunakan. Konsep ‘kerja rumah’ menerangkan tentang tugas wanita dalam alam rumahtangga seperti memasak, membasuh, mendidik anak dan lain-lain lagi. Konsep ini tidak menjelaskan peranan wanita yang mungkin terlibat membantu suami membawa pulang upah ke rumah. Wanita hanya ditugaskan melakukan kerja-kerja di rumah dan wanita tidak digalakkan bekerja.
Kini, wanita mula mendapatkan perhatian dan mula diiktiraf kebolehan dan kemampuannya. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mewujudkan Deklarasi Dekad Pembangunan Wanita disebabkan sumbangan wanita diabaikan. Pada tahun 1979 telah termaktub Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW). Pelbagai lagi peristiwa dan persidangan-persidangan pada peringkat antarabangsa yang khusus membincangkan kebajikan wanita telah dilakukan.
Penyertaan wanita dalam aktiviti ekonomi yang meningkat dianggap sebagai petanda baik bagi seluruh masyarakat terutamanya kaum wanita. Walaupun begitu, kadar penyertaan wanita dalam sektor ekonomi tidak merupakan kriteria yang cukup untuk mengukur status wanita berbanding lelaki.
FAKTOR-FAKTOR PENGLIBATAN PEKERJA WANITA DALAM SEKTOR INDUSTRI.     
Impak daripada penderitaan Perang Dunia Kedua telah mendorong ramai wanita Melayu untuk bekerja. Selepas perang, wanita Melayu terus bergerak maju sekaligus telah meningkatkan penyertaannya dalam aktiviti ekonomi dengan pesat terutamanya sektor industri.
Keperluan semasa telah menjadi faktor utama yang mendorong wanita terlibat dalam industri dan aktiviti ekonomi yang lain. Selain itu juga, pertambahan penglibatan wanita dalam sektor industri ialah melalui perlaksanaan dasar kerajaan untuk meningkatkan sektor perindustrian pada akhir tahun 1960-an.
Impak dari perkembangan sektor perindustrian sebilangan syarikat yang bertaraf antarabangsa dibangunkan di kawasan-kawasan perusahaan dan kawasan zon perdagangan bebas cukai dengan mengambil kesempatan mendapatkan ramai pekerja wanita dengan ganjaran yang murah. Hal ini juga selaras dengan pertumbuhan ekonomi dan perindustrian di negara-negara tertentu Asia Tenggara pada tahun 1970-an yang meningkatkan permintaan untuk pekerja wanita.  
Antara faktor lain yang menyebabkan pertambahan penglibatan wanita dalam industri adalah peningkatan pencapaian pendidikan wanita lebih tinggi berbanding lelaki. Oleh sebab itu, dalam sektor industri, wanita turut mendapat jawatan yang tinggi setaraf dengan lelaki. Adakalanya, lelaki tidak mendapat jawatan-jawatan itu disebabkan oleh pencapaian rendah dalam pendidikan. Hal ini berterusan sehingga pertumbuhan peluang pekerjaan untuk wanita semakin meluas.
Terdapat juga faktor-faktor sampingan yang mendorong penglibatan wanita dalam industri seperti pertumbuhan pembangunan sosioekonomi negara yang berlaku telah membuka luas peluang penerimaan pekerja wanita dalam sektor industri. Bukan itu sahaja, faktor berkahwin lewat, kadar kesuburan yang rendah dan penerimaan masyarakat terhadap wanita yang bekerja yang semakin meningkat juga menjadi faktor kepada penglibatan wanita dalam sektor industri.
Wanita kini telah berjaya memasuki dan menguasai profesion yang dahulunya dikuasai oleh lelaki. Pada hari ini, penglibatan wanita dalam sektor industri bukan lagi menjadi masalah, malah wanita merupakan penyumbang utama kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan negara.
Peranan wanita sangat penting, bukan hanya di dalam rumahtangga malah sumbangannya kepada ekonomi juga sangat diperlukan. Sepertimana, yang telah dikatakan oleh Tun Abdul Razak, peranan wanita dalam tangga adalah begitu kompleks. Sekurang-kurangnya wanita kita menjawat empat Kementerian dalam keluarganya, iaitu Kewangan, Kesihatan, Keselamatan dan Perhubungan Luar. Hal ini menunjukkan, betapa besarnya peranan wanita dalam institusi kekeluargaan dan kemajuan negara terutamanya aktiviti ekonomi. 

No comments:

Post a Comment